Sejarah bahasa Melayu

Butiran pada tulisan Rencong, iaitu sistem tulisan yang terdapat di Sumatera tengah, Indonesia.[1] Teks itu berbunyi (ejaan Voorhoeve): "haku manangis ma / njaru ka'u ka'u di / saru tijada da / tang [hitu hadik sa]", yang diterjemahkan oleh Voorhoeve sebagai: "Aku menangis, memanggil kamu; walaupun dipanggil, awak tak datang" (hitu adik sa- ialah sambungan baris keempat seterusnya.)

Bahasa Melayu mula digunakan pada alaf pertama yang dikenali sebagai Bahasa Melayu Kuno, iaitu bahasa di bawah rumpun bahasa Austronesia. Dalam tempoh dua alaf, bahasa Melayu telah melalui pelbagai fasa perkembangan yang terdiri daripada lapisan demi lapisan pengaruh asing yang berbeza melalui perdagangan antarabangsa, pengembangan agama, penjajahan dan perkembangan trend sosiopolitik baharu. Bentuk bahasa Melayu tertua berasal daripada bahasa Melayu-Polinesia Purba yang dituturkan oleh peneroka Austronesia terawal di Asia Tenggara. Menurut beberapa penyelidik linguistik, bentuk ini kemudiannya berkembang menjadi Bahasa Melayu Kuno selepas penembusan budaya dan keagamaan India ke rantau tersebut, berkemungkinan besar menggunakan tulisan Kawi dan Rencong. Bahasa Melayu Kuno mengandungi beberapa istilah yang wujud pada hari ini, tetapi tidak dapat difahami oleh penutur moden, manakala istilah-istilah Bahasa Melayu Moden sudah banyak yang boleh dikenalpasti bentuknya melalui bahasa Melayu Klasik pada tahun 1303 Masihi.[2]

Bahasa Melayu berkembang secara meluas menjadi bahasa Melayu Klasik melalui kemasukan beransur-ansur pelbagai unsur perbendaharaan kata Arab dan Parsi apabila Islam mula bertapak di rantau ini. Pada mulanya, bahasa Melayu Klasik merupakan satu kumpulan dengan kepelbagaian dialek, yang mencerminkan asal-usul pelbagai kerajaan Melayu di Asia Tenggara. Salah satu daripada dialek-dialek tersebut yang berkembang dalam tradisi kesusasteraan Melaka pada abad ke-15, akhirnya menjadi dominan. Pengaruh kuat Melaka dalam perdagangan antarabangsa di rantau ini menyebabkan bahasa Melayu menjadi lingua franca dalam perdagangan dan diplomasi, dan status ini bertahan dari zaman kesultanan-kesultanan Melayu yang seterusnya, era penjajahan Eropah hinggalah ke zaman moden. Dari abad ke-19 hingga ke-20, bahasa Melayu berkembang secara progresif melalui penambahbaikan ketara tatabahasa dan pengayaan leksikal sehingga menjadi sebuah bahasa moden yang mempunyai lebih daripada 800,000 frasa dalam pelbagai disiplin ilmu.

  1. ^ Voorhoeve, P. (1970). "Kerintji Documents". Bijdragen tot de Taal-, Land- en Volkenkunde. 126 (4): 369–399. doi:10.1163/22134379-90002797.
  2. ^ Teeuw 1959, halaman 149

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Nelliwinne